30 September 2016 - 04:53
Mahmoud Abbas Rancang Hadiri Pengebumian Peres Di Sebalik Kecaman Penduduk Palestin.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas dilaporkan merancang untuk menghadiri pengebumian bekas pemimpin Israel, Shimon Peres yang dikenali sebagai penjenayah perang di kalangan rakyat Palestin.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas dilaporkan merancang untuk menghadiri pengebumian bekas pemimpin Israel, Shimon Peres yang dikenali sebagai penjenayah perang di kalangan rakyat Palestin.

Beberapa sumber PA pada hari Khamis semalam mengesahkan bahawa Abbas telah bersiap-sedia untuk mengambil bahagian di dalam upacara pengebumian yang akan diadakan di Baitulmuqaddis pada hari Jumaat ini.

Pegawai rejim haram Israel berkata Abbas telahpun meminta kebenaran untuk memasuki kawasan yang diduduki secara tidak sah oleh rejim tersebut di Tebing Barat dari Ramallah di dalam rangka untuk menghadiri majlis tersebut.

Peres, yang dikenali sebagai salah seorang daripada tokoh utama yang menjayakan penjajahan Israel ke atas bumi Palestin meninggal dunia pada hari Rabu lalu pada usia 93 tahun diakibatkan serangan angin ahmar yang dideritainya dua minggu lalu.

Lawatan ini dianggap sebagai sesuatu yang jarang berlaku. Lebih janggal lagi ialah ia akan dilakukan walaupun jelas tindakan tersebut kelihatan bertentangan dengan sentimen semasa rakyat Palestin yang kebanyakannya menyambut berita kematian Peres dengan nada gembira.

Beberapa tokoh berprofil tinggi di Ramallah juga sebelum ini telah menolak dakwaan Abbas yang mengatakan Peres adalah sahabat yang "berani" di dalam mencapai kedamaian. Di mata para pengkritik Abbas, beliau (Peres) tidak lebih daripada seorang "penjenayah perang". 

Pergerakan Hamas -kumpulan yang mentadbir Gaza yang kini masih berada di dalam kepungan- pula menyambut kematian Peres dengan gembira sambil berkata beliau adalah "salah seorang pengasas awal (rejim) Israel yang masih tersisa."

Hamas juga menyeru rakyat Palestin untuk mengadakan "Hari Kemarahan" pada Jumaat ini selari dengan majlis pengebumian beliau.

Orang awam Palestin juga mengingati Peres melalui "jenayah perang" beliau lakukan serta penglibatan aktifnya di dalam beberapa siri pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim tersebut terhadap orang awam Palestin dan Lubnan sejak beberapa dekad yang lalu.

Peres juga dikenali sebagai "bapa pengasas" Israel yang terakhir.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai presiden, tentera rejim Israel telah melancarkan dua peperangan terhadap Gaza yang berada dalam kepungan pada tahun 2009 dan 2014. Peperangan tersebut telah mengorbankan kira-kira 3,700 penduduk Palestin. Peres juga merupakan penyokong kuat pengepungan yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza yang melumpuhkan wilayah Palestin tersebut. Kepungan itu telah mencetuskan kecaman daripada beberapa pemimpin dunia dan orang awam yang menganggapnya sebagai tidak berperikemanusiaan dan menyifatkannya juga sebagai hukuman kolektif yang kejam.

Semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri Israel, dunia juga telah menyaksikan pengeboman Israel ke atas kawasan milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terletak berhampiran Qana, sebuah kampung di selatan Lebanon, di mana sebelum serangan itu dilancarkan ratusan penduduk tempatan telah menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat untuk berlindung. Serangan itu membunuh 106 orang dan mencederakan sekitar 116 yang lain.